Osama Hamdan saran Malaysia pimpin tiga peranan strategik untuk Palestin

Malaysia disaran memimpin tiga peranan strategik dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk memperkasa tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa bagi mendakwa pemimpin rejim penjajah Zionis atas jenayah perang dan genosid di Gaza.

Saranan berkenaan disampaikan oleh Ahli Biro Politik Hamas, Osama Hamdan, dalam satu wawancara khas bersama Dunia Palestin bertajuk “Perjuangan Palestin dalam Perubahan Geopolitik Dunia”, sempena ulang tahun ketiga operasi Taufan Al-Aqsa.

Beliau menzahirkan penghargaan mendalam atas komitmen berterusan kerajaan Malaysia, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta seluruh rakyat Malaysia yang konsisten menyalurkan bantuan kemanusiaan, perubatan, dan pendidikan.

Mengimbas hubungan sejarah kedua-dua pihak, Osama turut menyifatkan kunjungan bersejarah bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ke Gaza sebelum ini sebagai satu langkah berani dalam menunjukkan sokongan politik yang amat signifikan ketika situasi getir waktu itu.

Tiga Peranan Utama Malaysia

Mengenai keutamaan tindakan yang boleh digerakkan oleh Malaysia pada masa ini, Osama menggariskan tiga saranan utama:

1. Inisiatif undang-undang dan pendedahan media: Menggerakkan pakar undang-undang, peguam, dan hakim dari Malaysia untuk memulakan prosiding serta pendakwaan terhadap penjenayah perang Israel, termasuk perdana menteri, komander tentera, dan menteri kabinetnya, di samping memperluas kempen media antarabangsa bagi mendedahkan realiti genosid di Gaza.

2. Sokongan pembinaan semula dan tekanan diplomatik: Gaza memerlukan sokongan fizikal secara langsung untuk pembinaan semula infrastruktur. Malaysia digesa mengguna pakai saluran diplomatik, parlimen, dan platform politik bagi mengenakan tekanan antarabangsa supaya rejim Zionis membuka pintu sempadan dan membenarkan kemasukan bahan binaan serta bantuan tanpa sekatan.

3. Penyampaian mesej sejagat menjaga al-Quds: Menyampaikan mesej tegas kepada dunia bahawa isu Palestin dan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa dan al-Quds bukan sekadar isu tempatan, sebaliknya merupakan pencerobohan terhadap maruah lebih satu pertiga umat manusia serta nilai kemanusiaan sejagat.

Situasi Semasa di Gaza dan Geopolitik Global

    Mengulas mengenai perkembangan gencatan senjata, Osama mendatangkan data bahawa рејim Zionis terus mencabuli perjanjian yang dimeterai. Menurut beliau, jumlah trak bantuan harian yang dibenarkan masuk ke Gaza kini merosot kepada kurang daripada 100 trak sehari, jauh berbanding sasaran 600 trak yang dipersetujui dan keperluan asas harian sebelum perang yang mencecah 1,200 trak.

      Sekatan bahan api yang berterusan turut menyebabkan penjana kuasa di hospital-hospital utama terhenti, sekali gus mengancam nyawa ribuan pesakit dan mangsa cedera.

      Beliau menambah, kegagalan sistem antarabangsa sedia ada yang didominasi oleh Amerika Syarikat menuntut pembentukan imbangan kuasa baharu menerusi pakatan negara-negara Islam seperti Inisiatif Makkah (melibatkan Turki, Pakistan, dan Arab Saudi), D-8, serta penyertaan kuasa geopolitik seperti BRICS, China, dan Rusia.

      Osama melahirkan keyakinan bahawa sokongan berterusan daripada negara penentang kezaliman seperti Malaysia akan mempercepat proses pembebasan tanah Palestin dan mengembalikan kestabilan hakiki di rantau berkenaan.

      Wawancara khas bersama Osama Hamdan boleh ditonton di YouTube Dunia Palestin. – Dunia Palestin

      Total
      0
      Shares
      Leave a Reply

      Your email address will not be published. Required fields are marked *

      Previous Post

      Perjuangan Palestin dalam Perubahan Geopolitik Dunia

      Next Post

      Hamas: Ancaman bunuh oleh Israel tidak akan ubah pendirian teguh kami

      Related Posts