Israel menahan jenazah kira-kira 1,700 rakyat Palestin yang berkemungkinan digunakan dalam pertukaran tahanan pada masa depan, meskipun tiada tawanan Israel yang kini ditahan Hamas, lapor Anadolu memetik akhbar Haaretz pada Isnin.
Angka itu dibangkitkan dalam perbincangan baru-baru ini dalam kalangan pihak keselamatan Israel, menurut akhbar berkenaan yang memetik dua sumber tanpa nama yang mengetahui perkara itu.
Ketua Shin Bet, David Zini menyokong supaya jenazah tersebut terus disimpan sekiranya warga Israel ditawan atau hilang pada masa depan. Menurut laporan itu, pendirian berkenaan turut disokong tentera Israel.
Haaretz melaporkan bahawa kebanyakan jenazah tersebut adalah milik rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza yang terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel atau pertempuran selepas itu.
Bagaimanapun, sebahagian daripada jenazah tersebut adalah milik rakyat Palestin yang tidak terlibat dalam pertempuran, menurut laporan itu.
Sumber perundangan yang dipetik Haaretz mempersoalkan kuasa Israel untuk menahan jasad berkenaan, dengan menyatakan bahawa kerajaan Israel tidak mempunyai kuasa untuk menyimpan jenazah rakyat Palestin yang tidak terbukti terlibat dalam pertempuran, melainkan Kabinet Keselamatan terlebih dahulu menetapkan dasar berhubung perkara tersebut.
Pada Oktober 2025, Kempen Nasional Palestin bagi Pengembalian Jenazah Syuhada dan Pendedahan Nasib Orang Hilang berkata Israel menahan kira-kira 1,500 jenazah rakyat Palestin dari Gaza di kemudahan tentera Sde Teiman di selatan Israel. – Dunia Palestin