Gerakan Hamas pada Ahad menegaskan semula komitmennya terhadap pelan hala tuju yang dipersetujui bersama pihak pengantara dan Lembaga Keamanan bagi melaksanakan fasa kedua pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk Gaza, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata pihaknya kekal serius untuk “terlibat secara bertanggungjawab” dalam pelaksanaan pelan 15 perkara itu serta menetapkan jadual masa yang jelas.
“Keutamaan pada peringkat ini mestilah memastikan pelaksanaan semua fasa dan kewajipan yang dipersetujui,” kata Hamas.
Menurutnya, proses itu perlu membawa kepada gencatan senjata sepenuhnya, penghentian serangan Israel, penarikan penuh tentera Israel, pembukaan semula pintu lintasan, kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perlindungan, permulaan usaha pembinaan semula serta membolehkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza menjalankan tugasnya.
Hamas turut menyeru pihak pengantara, penjamin dan Lembaga Keamanan supaya “memikul tanggungjawab mereka”, memastikan semua pihak mematuhi perjanjian serta menghalang sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan pelaksanaannya atau menggugat gencatan senjata.
Kumpulan itu berkata pihaknya akan terus terlibat secara “positif dan bertanggungjawab” dalam usaha melengkapkan pelaksanaan perjanjian, menamatkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta “melindungi hak dan kepentingan nasional mereka”.
Pada awal Ahad, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak pelan 15 perkara yang diluluskan Lembaga Keamanan untuk Gaza, sambil menegaskan bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah Palestin itu sehingga Hamas dilucutkan senjata. – Dunia Palestin