Laporan PBB sahkan Israel bunuh 20,000 kanak-kanak di Gaza

Satu laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa 20,000 kanak-kanak Palestin dibunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023, sambil menyifatkan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran yang disengajakan oleh tentera penjajah Israel.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel, Srinivasan Muralidhar berkata bukti yang dikumpulkan menunjukkan kanak-kanak Palestin telah menjadi sasaran serangan secara sengaja.

“Bukti menunjukkan bahawa kanak-kanak Palestin telah disasarkan dan dibunuh secara sengaja oleh pasukan keselamatan Israel,” katanya ketika membentangkan laporan berkenaan.

Menurut Muralidhar, pembunuhan dan serangan terhadap kanak-kanak Palestin masih berterusan walaupun gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025.

“Walaupun selepas gencatan senjata pada Oktober 2025, kanak-kanak terus dibunuh dan mengalami kecederaan serius, dengan Israel terus mengabaikan gencatan senjata serta kewajipan melindungi kanak-kanak Palestin di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Laporan itu menyatakan lebih 44,000 kanak-kanak lagi cedera sejak perang genosid bermula.

Suruhanjaya itu turut merumuskan bahawa peperangan berterusan telah mengakibatkan kecederaan fizikal dan mental yang serius, trauma beramai-ramai, kehilangan ibu bapa, perpisahan keluarga, kecacatan, pemindahan berulang kali, kebuluran serta keruntuhan sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan, sekali gus memusnahkan zaman kanak-kanak penduduk Gaza dan memberi kesan sepanjang hayat kepada generasi tersebut.

Selain itu, laporan berkenaan mendakwa kanak-kanak Palestin turut ditahan oleh rejim penjajah Israel serta mengalami penyeksaan dan layanan buruk lain di penjara serta pusat tahanan Israel, dengan keluarga mereka tidak diberikan maklumat mengenai lokasi tahanan.

Suruhanjaya itu juga mendakwa tentera penjajah Israel menggunakan keganasan seksual terhadap kanak-kanak sebagai sebahagian daripada amalan penghinaan dan penindasan kolektif yang berakar dalam corak penjajahan serta konflik yang berpanjangan.

Laporan terbaharu itu menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak Palestin serta memastikan semua pihak yang bertanggungjawab atas pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipertanggungjawabkan. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lebih 1,000 rakyat Palestin dibunuh selepas ‘gencatan senjata’ Gaza

Related Posts