Jurucakap Briged al-Qassam, Abu Ubaidah menegaskan bahawa pembunuhan pemimpin kanan gerakan itu oleh penjajah Israel tidak akan melemahkan perjuangan mereka, sebaliknya akan menjadi pemangkin kepada kesinambungan penentangan terhadap penjajahan.
Dalam ucapan yang disiarkan pada Selasa, beliau berkata Israel telah tersilap menilai keadaan dengan menganggap sikap fleksibel dan kesabaran pihak pejuang sebagai tanda kelemahan.
“Musuh telah salah membaca situasi dan membuat penilaian yang silap. Mereka menganggap kelonggaran sebagai kelemahan dan kesabaran sebagai kemunduran, sedangkan kami tidak akan melupakan dan tidak akan memaafkan,” katanya.
Abu Ubaidah turut mendakwa bahawa pembunuhan para pemimpin Briged al-Qassam hanya akan mengukuhkan semangat perjuangan anggota kumpulan itu.
Menurut beliau, rakyat Gaza terus menjadi mangsa serangan berterusan walaupun pelbagai perjanjian dan persefahaman telah dicapai sebelum ini.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut memberi penghormatan kepada beberapa pemimpin kanan Briged al-Qassam yang terbunuh baru-baru ini, termasuk panglima briged itu, Izzuddin al-Haddad atau dikenali sebagai Abu Suhaib.
Abu Ubaidah menyifatkan al-Haddad sebagai antara tokoh utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ketenteraan Briged al-Qassam dan terlibat dalam perancangan serta penyeliaan operasi 7 Oktober 2023.
Beliau berkata al-Haddad juga memimpin operasi pertahanan di utara Gaza dan kemudiannya dilantik mengetuai Briged al-Qassam selepas kematian Muhammad Deif dan Muhammad Sinwar.
Selain itu, Abu Ubaidah turut mengenang Muhammad Awda, atau Abu Omar, yang menurutnya merupakan antara individu terawal dalam pembangunan industri ketenteraan Briged al-Qassam serta pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk komander Briged Utara dan ketua perisikan tentera.
Katanya, Awda memainkan peranan penting dalam perancangan operasi 7 Oktober dan penyelarasan operasi pertahanan di utara Gaza sebelum terbunuh bersama anggota keluarganya.
Abu Ubaidah menegaskan bahawa kehilangan para pemimpin tersebut tidak akan menjejaskan kesinambungan perjuangan Briged al-Qassam dan menyifatkan mereka sebagai simbol pengorbanan dalam konflik yang sedang berlangsung di Gaza. – Dunia Palestin