Ketua Hamas di Luar Negara, Khaled Meshaal menegaskan bahawa pengorbanan besar rakyat Palestin di Gaza sepanjang Taufan al-Aqsa akan menjadi jalan kepada kejatuhan dan kekalahan penjajah Israel serta musuh-musuh umat Islam.
Menurut Meshaal, Gaza telah memberikan segala yang dimilikinya sepanjang perang tersebut dengan mengorbankan anak-anak dan keluarga mereka bukan sahaja demi umat Islam, tetapi juga demi seluruh kemanusiaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis takziah al-Syahid Azzam al-Hayya, anak kepada Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya.
“Gaza telah mempersembahkan sebuah legenda besar, dengan izin Allah, akan menjadi jalan kepada kejatuhan dan kekalahan Israel serta musuh-musuh umat walau selama mana pun masa berlalu atau cabaran bertambah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keadaan itu meletakkan tanggungjawab besar ke atas umat Islam untuk terus mendukung perjuangan rakyat Palestin serta mempertahankan Gaza, Baitulmaqdis, Tebing Barat dan isu tahanan Palestin.
Katanya, umat Islam mempunyai tanggungjawab sejarah, moral dan kemanusiaan untuk terus berdiri bersama rakyat Palestin melalui pelbagai bentuk sokongan dan bantuan sehingga tercapainya kemenangan dan pembebasan Palestin.
Meshaal berkata pihaknya akan terus bersama rakyat Gaza serta melakukan segala yang termampu untuk menyokong keteguhan dan perjuangan mereka.
Dalam ucapannya, beliau turut mendoakan kerahmatan buat para syuhada, kesembuhan kepada mereka yang cedera serta kebebasan buat tahanan Palestin.
Beliau juga mendoakan agar Allah melindungi rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan seluruh Palestin serta mematahkan kekuatan Israel dan musuh-musuh umat Islam.
Meshaal turut menyampaikan penghargaan dan sokongan kepada Khalil al-Hayya atas pengorbanan keluarganya dalam perjuangan Palestin.
“Semoga Allah meninggikan kedudukanmu di dunia dan akhirat. Kami sentiasa bersamamu dalam kesenangan dan kesusahan,” katanya. – Dunia Palestin