Satu serangan udara Israel ke atas Bandar Gaza telah mengorbankan anak lelaki kepada Khalil al-Hayya, Ketua Hamas di Gaza dan ketua perunding gerakan itu dalam rundingan tidak langsung dengan Israel.
Azzam Khalil al-Hayya syahid akibat kecederaan yang dialaminya pada Khamis selepas satu serangan udara Israel menyasarkan kawasan Daraj di Bandar Gaza lewat malam Rabu, menurut sumber di Hospital al-Shifa kepada Al Jazeera.
Pegawai kanan Hamas, Basem Naim mengesahkan kesyahidan tersebut menerusi satu hantaran di platform X.
Serangan itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya seorang lagi individu dan mencederakan sembilan yang lain, menurut petugas perubatan.
Empat lagi turut terbunuh dalam dua serangan udara lain pada hari yang sama, termasuk seorang kolonel kanan dalam pasukan polis Gaza.
“Saya berkata kepada penjajah dan kepada semua yang mendengar kami, bahawa kami adalah sebuah rakyat yang memiliki perjuangan yang adil. Pembunuhan anak-anak kami mahupun kesyahidan para pemimpin kami tidak akan menakutkan kami,” kata Khalil al-Hayya pada Rabu sebelum kematian anaknya disahkan.
“Anak-anak kami adalah anak-anak rakyat Palestin. Anak saya dan anak-anak yang lain semuanya adalah anak-anak rakyat kami tanpa sebarang perbezaan. Perasaan kami terhadap mereka adalah sama.”
Al-Hayya sebelum ini telah kehilangan tiga orang anak dalam cubaan Israel untuk membunuhnya, dua terbunuh di Gaza dalam serangan pada tahun 2008 dan 2014, manakala seorang lagi terbunuh dalam cubaan Israel menyasarkan kepimpinan Hamas di Doha pada September tahun lalu. – Dunia Palestin