Jurucakap Briged al-Qassam, Abu Ubaidah menyatakan bahawa pihaknya telah mengendalikan fail tahanan dan mayat Israel dengan penuh ketelusan serta menunaikan semua kewajipan yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Menurut beliau, Briged al-Qassam telah menyerahkan semua tahanan yang masih hidup serta mayat yang berada dalam pegangan mereka secepat mungkin tanpa sebarang kelewatan, walaupun Israel gagal mematuhi komitmen yang dipersetujui dan melakukan ratusan pelanggaran sepanjang tempoh gencatan senjata.
“Kami tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk melengah-lengahkan proses ini dan komited sepenuhnya untuk menutup fail tahanan secara muktamad, demi kepentingan rakyat kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun beroperasi dalam keadaan yang amat kompleks, Briged al-Qassam berjaya mengesan serta menyerahkan mayat tahanan musuh dengan pengetahuan penuh pihak perantara.
Sehubungan itu, beliau menyeru para perantara antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab mereka dan memaksa Israel melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Mengenai mayat askar Israel, Ran Gvili, Abu Ubaidah mengesahkan bahawa Briged al-Qassam telah menyerahkan semua maklumat dan butiran yang dimiliki kepada pihak perantara berkaitan lokasi mayat berkenaan.
Menurutnya, operasi pencarian yang sedang dijalankan oleh tentera Israel di beberapa lokasi tertentu ketika ini merupakan bukti bahawa maklumat tepat telah disampaikan oleh Briged al-Qassam kepada pihak perantara. – Dunia Palestin