Gabungan NGO di Malaysia akan menganjurkan satu himpunan aman pada 26 Oktober ini di Ampang Park bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN.
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata himpunan tersebut bertujuan menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat Malaysia menolak kedatangan Trump serta menentang sebarang bentuk normalisasi hubungan dengan Israel.
“Negara ini tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Kedatangan Trump membawa simbol kepada dasar luar Amerika Syarikat yang terus menyokong rejim Zionis dalam pembunuhan dan rampasan tanah rakyat Palestin sejak 1948,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengulas cubaan pihak tertentu membina naratif baharu yang menggambarkan Trump sebagai tokoh keamanan, termasuk desakan agar beliau diberikan Anugerah Keamanan Nobel susulan peranannya dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.
Menurut Ustaz Fauzi, cubaan itu hanyalah usaha untuk menutup peranan sebenar Trump sebagai “penggerak utama kemusnahan Palestin”, merujuk kepada pelan “Deal of The Century” dan dasar luar pro-Israel sepanjang pentadbirannya.
“Penjenayah perang menyokong penjenayah perang untuk hadiah keamanan adalah sesuatu yang melucukan. Namun begitulah permainan naratif dunia hari ini. Walau pelik, cubaan membina naratif palsu tetap dilakukan,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu memperkukuh naratif yang benar bahawa AS dan Israel adalah sekutu dalam penindasan terhadap rakyat Palestin, dan menegaskan bahawa perjuangan Hamas serta rakyat Gaza telah berjaya membuka mata dunia terhadap hakikat sebenar konflik tersebut.
GSPP menyeru rakyat Malaysia untuk turun berhimpun secara aman dari pagi hingga tengah hari pada 26 Oktober ini bagi menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menolak dasar AS yang berpihak kepada Israel. – Dunia Palestin
