Kapal hospital Libya mula belayar untuk menyertai flotila ke Gaza

Kapal Libya, Omar al-Mukhtar, berlayar pada Ahad untuk menyertai Global Sumud Flotilla yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza, selepas dilengkapi dengan unit rawatan rapi bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada flotila tersebut.

Jurucakap kapal itu, Nabil al-Soukni, memberitahu Anadolu bahawa pelayaran sebelumnya pada Rabu terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.

“Kami kini benar-benar bersedia dengan semua kelengkapan kami, dan kami telah menambah simpanan bekalan untuk beberapa bot kecil yang kekurangan stok disebabkan saiz mereka,” kata al-Soukni.

Beliau menambah bahawa ruang juga disediakan untuk aktivis daripada beberapa bot yang dianggap tidak sesuai untuk sampai ke Gaza.

Menurutnya, Omar al-Mukhtar membawa khemah untuk rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ubat-ubatan, susu bayi serta pelbagai bekalan lain untuk semua peringkat umur di Gaza.

“Sokongan moral dan rakyat yang kami terima daripada beberapa pihak di Libya adalah mesej kuat yang menaikkan semangat kru di atas kapal Omar al-Mukhtar,” tambahnya.

Antara tokoh terkenal yang turut berada di atas kapal itu ialah bekas Perdana Menteri Libya, Omar al-Hassi, bersama aktivis antarabangsa, kata jurucakap berkenaan.

Pegawai perubatan kapal, Abdel Rahman Humaid, memberitahu Anadolu bahawa mereka turut membawa pasukan kesihatan dan menubuhkan unit rawatan rapi untuk menyediakan perkhidmatan perubatan bagi armada antarabangsa tersebut.

“Kami melengkapkan kapal ini dengan peralatan serta ubat-ubatan yang diperlukan dan menyediakannya dengan segala keperluan untuk rawatan rapi,” kata Humaid.

Baru-baru ini, puluhan kapal telah berlayar dari pelabuhan-pelabuhan di Afrika Utara dan Eropah menuju ke Gaza sebagai sebahagian daripada Global Sumud Flotilla untuk memecahkan sekatan Israel. – Anadolu

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas gesa sidang kemuncak Doha tegas hentikan perang genosid Gaza

Next Post

Pengiktirafan dunia terhadap Palestin adalah hasil keteguhan rakyat Gaza

Related Posts