Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menyeru imam dan khatib di seluruh dunia mengkhususkan khutbah Jumaat pada 29 Ogos ini bagi mendoakan keselamatan serta kemenangan rakyat Palestin di Gaza yang sedang berdepan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim penjajah Zionis.
Dalam satu kenyataan rasmi ditandatangani Presidennya, Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi dan Setiausaha Agung, Dr. Ali Muhammad al-Sallabi, kesatuan itu berkata keadaan di Gaza kini amat kritikal dengan rakyatnya terus dibunuh, diusir, dibiarkan lapar serta berhadapan percubaan penghapusan yang disaksikan seluruh dunia.
Menurut kenyataan itu, usaha umat Islam di pelbagai negara dalam menzahirkan solidariti dan bantuan masih belum mencukupi untuk menghentikan serangan.
“Kemenangan yang sebenar belum tercapai dan serangan musuh masih berterusan, dibantu oleh kuasa-kuasa antarabangsa serta sesetengah pemerintah. Maka tidaklah berbaki bagi kita melainkan bergantung kepada asbab dari langit, dan antara pintu kemenangan yang terbesar ialah pintu doa dengan penuh kerendahan dan pengharapan kepada Allah Ta‘ala,” kata kenyataan itu.
Kesatuan turut meminta agar selepas solat Jumaat, para jemaah bersama-sama mengaminkan doa imam untuk keselamatan penduduk Gaza, antaranya doa agar Allah menyelamatkan orang-orang mukmin yang tertindas, memberi makan kepada mereka yang lapar serta menutup aurat mereka yang kekurangan pakaian.
“Doa yang dipanjatkan dengan hati yang bersatu mampu mengangkat kesusahan umat. Kami memohon kepada Allah agar memberikan kemenangan yang mulia kepada penduduk Gaza, menolak kezaliman musuh mereka, dan memberikan jalan keluar daripada penderitaan,” menurut kenyataan itu. – Dunia Palestin