100,000 jemaah hadir solat Jumaat di Masjid al-Aqsa walau hadapi sekatan

Sekitar 100,000 jemaah Palestin menunaikan solat Jumaat di halaman Masjid al-Aqsa pada Jumaat kedua Ramadan, walaupun berdepan sekatan yang dikenakan oleh penjajah Israel.

Menurut laporan Al Jazeera, para jemaah terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat ketika melintasi pusat pemeriksaan Qalandiya di Tebing Barat sebelum dibenarkan memasuki Baitulmaqdis untuk menunaikan ibadah. Kehadiran pasukan tentera dan polis penjajah Israel turut dipertingkatkan di sekitar bandar berkenaan.

Sejak permulaan Ramadan, rejim penjajah Israel mengehadkan kemasukan bagi solat Jumaat kepada hanya 10,000 rakyat Palestin dari Tebing Barat yang memiliki permit harian, jauh lebih rendah berbanding ratusan ribu jemaah yang lazimnya memenuhi Masjid al-Aqsa pada tahun-tahun sebelumnya.

Di bawah peraturan tersebut, hanya lelaki berusia lebih 55 tahun, wanita berumur 50 tahun ke atas serta kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang diiringi ahli keluarga dibenarkan memasuki kawasan masjid. Selain itu, pengunjung turut diwajibkan menjalani proses pengesahan digital di lintasan ketika kembali ke Tebing Barat.

Dalam perkembangan berkaitan, rejim itu turut mengeluarkan larangan terhadap 280 penduduk Baitulmaqdis, termasuk tokoh agama, wartawan dan bekas tahanan Palestin, daripada menghadiri solat di Masjid al-Aqsa.

Sekatan berterusan terhadap akses rakyat Palestin ke Masjid al-Aqsa sepanjang Ramadan dilihat sebagai sebahagian usaha meningkatkan tekanan terhadap komuniti Palestin serta menghakis identiti budaya Palestin di Baitulmaqdis Timur, yang dianggap rakyat Palestin sebagai ibu negara bagi negara masa depan mereka. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pemimpin Hamas rakam penghargaan atas solidariti teguh rakyat Malaysia

Next Post

Hamas seru Pakistan dan Afghanistan bertenang, utamakan kesatuan ummah

Related Posts