Jurucakap Briged al-Quds, Abu Hamzah mendedahkan bahawa penjajah Israel dengan sengaja melengah-lengahkan proses pencarian mayat tahanan terakhir, Ran Gvili, walaupun koordinat lokasi mayat tersebut telah diserahkan kepada pihak pengantara sejak tiga minggu lalu.
“Kami menyerahkan maklumat yang diperlukan kepada para pengantara berdasarkan tanggungjawab nasional dan komitmen terhadap apa yang telah dipersetujui, namun musuh dengan sengaja melakukan penangguhan dalam usaha penyelarasan dan pencarian,” katanya.
Menurut Abu Hamzah dalam satu kenyataan pada Isnin, Briged al-Quds telah menutup sepenuhnya fail tahanan musuh selepas menyerahkan mayat terakhir pada 2 Disember 2025 di utara Gaza, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran yang disifatkan sebagai bermaruah dan terhasil daripada pertempuran sengit antara muqawamah Palestin dan penjajah Israel.
Beliau turut menegaskan bahawa Briged al-Quds bersama kumpulan muqawamah Palestin telah mematuhi sepenuhnya semua peruntukan fasa pertama perjanjian gencatan senjata, yang bertujuan menamatkan perang genosid Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Dalam pada itu, Abu Hamzah menyeru para pengantara dan pihak penjamin perjanjian agar memberi tekanan serius ke atas Israel supaya melaksanakan semua komitmen yang dipersetujui, termasuk menghentikan pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Beliau menegaskan bahawa pendirian muqawamah Palestin kekal jelas, iaitu nasib tawanan musuh berada sepenuhnya di tangan muqawamah, dan sebarang perkembangan berkaitan perkara itu hanya berlaku berdasarkan keputusan pihak muqawamah sendiri. – Dunia Palestin