Bagaimana jika “Israel” tidak lenyap pada tahun 2027?!
Soalan ini bukanlah satu bentuk pesimisme, dan bukan juga seruan kepada keputusasaan. Sebaliknya, ia adalah ketukan yang menggoncang kesedaran; agar mereka yang tenggelam dalam angan-angan sedar bahawa jalan perjuangan ini lebih dalam daripada tarikh-tarikh yang diperkatakan, dan lebih perit daripada waktu yang disucikan.
Ia adalah soalan yang mahu mengeluarkan kita daripada kesempitan menunggu kepada keluasan tanggungjawab, dan daripada ilusi mencukupkan diri dengan masa kepada hakikat persiapan.
Sejak tahun-tahun lalu hingga kini, sering diulang-ulang bahawa lenyapnya penjajah (Israel) dikaitkan dengan tahun tertentu; kadangkala melalui analisis politik, kadangkala melalui mimpi dan penglihatan, dan kadangkala melalui hisab al-jummal. Bahaya itu bukan terletak pada harapan, tetapi pada menggantungkan iman kepada tarikh, dan menggantungkan amal kepada jangkaan.
Antara janji Ilahi dan penetapan manusia
Sesungguhnya janji Allah itu benar dan tidak akan dimungkiri, namun ia tidak pernah diikat dengan hari atau tahun tertentu. Maka masalahnya bukan pada khabar gembira itu, tetapi pada pentakwilan secara berwaktu mengikut hawa nafsu manusia. Allah Ta‘ala berfirman:
“Janji Allah itu benar; Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum: 6)
Sesiapa yang menjadikan kebenaran agama bergantung kepada tarikh, maka dia telah mendedahkan hati manusia kepada kejutan yang keras apabila realisasi itu tertangguh.
Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah berkata:
“Sesungguhnya janji-janji Allah itu benar. Adapun penentuan waktu, maka tidak ada yang mengetahuinya melainkan Allah. Ramai manusia tersilap dalam menentukan masa, lalu hal itu menjadi sebab lemahnya iman mereka apabila berlaku kelewatan.” (Majmu‘ al-Fatawa)
Ketelitian panduan Ibn Taymiyyah ini membebaskan iman daripada terikat dengan waktu, dan menegaskan bahawa kecacatan bukan pada janji Ilahi, tetapi pada memaksakan anggaran manusia ke atasnya, serta kesan kegoncangan jiwa apabila berlaku penangguhan.
Tawakal antara usaha dan penangguhan
Tawakal bukanlah duduk tanpa persiapan, dan bukan menunggu tarikh yang dibayangkan. Ia adalah usaha berterusan disertai kepercayaan yang teguh kepada Allah. Allah Ta‘ala berfirman:
“Dan sediakanlah untuk menghadapi mereka apa sahaja kekuatan yang kamu mampu.” (Surah al-Anfal: 60)
Apabila kita menukar harapan menjadi slogan tanpa usaha, kita menjadi lebih dekat kepada tawakul (berserah secara salah) yang membawa kepada kekecewaan, dan semakin jauh daripada tawakal sebenar yang melahirkan kemenangan.
Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah berkata:
“Tawakal itu separuh daripada agama, dan separuh lagi ialah kembali (kepada Allah). Tawakal ialah meminta pertolongan, manakala kembali itu adalah ibadah. Kecacatan paling besar ialah apabila seorang hamba meminta pertolongan sedangkan dia terus berada dalam kelalaian.” (Madarij al-Salikin)
Kata-kata ini meruntuhkan ilusi lazim yang menyelubungi kelemahan dengan pakaian tawakal, dan mengembalikan definisinya sebagai tindakan yang terhasil daripada usaha dan kebergantungan, bukan penantian selesa terhadap hasil tanpa sebab-sebabnya.
Apakah kewajipan kita jika “kehancuran Israel” tertangguh?
Jika kehancuran Israel tertangguh, adakah kita meratapi nasib, mengoyakkan pakaian, dan menyalahkan langit? Atau kita menyusun semula diri menurut sunnatullah dalam proses pemerkasaan?
Sesungguhnya umat dibina dengan kesabaran, dan peperangan dimenangi dengan pengumpulan jangka panjang, bukan dengan penantian singkat. Nabi SAW bersabda:
“Jika Kiamat hampir berlaku dan di tangan salah seorang daripada kamu ada benih tanaman, maka jika dia mampu untuk tidak bangkit sehingga dia menanamnya, maka hendaklah dia menanamnya.” (Riwayat Ahmad, disahihkan oleh al-Albani)
Maka amal tetap wajib, walaupun dalam keadaan yang paling getir.
Imam Malik rahimahullah berkata:
“Tidak akan baik generasi akhir umat ini melainkan dengan apa yang telah memperbaiki generasi awalnya.” (Al-I‘tisam, al-Shatibi)
Prinsip ini mengalihkan kompas daripada menunggu perubahan besar kepada pembinaan insan yang berdisiplin; kerana baiknya realiti bukan terikat pada saat politik, tetapi pada laluan tarbiah yang panjang.
Bagi membetulkan perjalanan ke hadapan, saya katakan:
- Jangan hubungkan iman dengan tarikh, dan jangan ikat janji dengan tahun; kerana agama lebih kukuh daripada jangkaan kita.
- Beramallah seolah-olah kemenangan itu jauh; kerana jalan persiapan itu panjang. Dan bertawakallah seolah-olah ia dekat; kerana Allah tidak pernah memungkiri janji.
- Kukuhkan kesedaran manusia, khususnya para pendakwah, daripada kejutan penangguhan, agar kemunduran tidak menjadi lebih parah daripada ujian itu sendiri.
Kita bekerja untuk melenyapkan penjajahan dengan penuh keyakinan, tetapi kita tidak menyerahkan akal kepada tarikh-tarikh ciptaan manusia.
Jika kehancuran penjajah tertangguh, tanggungjawab tidak pernah tertangguh, dan umat yang memahami hakikat ini itulah yang akan sampai.
Dr. Wafa’ ‘Ayyad “Abu Mahmud” – Gaza