Hamas, PIJ, PLFP sepakat tolak campur tangan asing dalam pentadbiran Gaza

Tiga gerakan utama Palestin iaitu Hamas, Jihad Islam Palestin (PIJ) dan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) menegaskan penolakan mutlak terhadap sebarang campur tangan asing dalam pentadbiran Gaza, sambil menekankan bahawa masa depan wilayah itu hanya boleh ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri.

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, ketiga-tiga gerakan itu menegaskan bahawa pentadbiran Gaza dan pembinaan semula institusinya mesti dilakukan melalui kesepakatan nasional Palestin, berasaskan prinsip perkongsian, ketelusan dan tanggungjawab bersama.

“Penentuan bentuk pentadbiran Gaza adalah urusan dalaman Palestin yang tidak boleh diambil alih oleh mana-mana pihak luar,” tegas kenyataan itu.

Mereka dalam masa sama menyambut baik perjanjian gencatan senjata yang disifatkan sebagai pencapaian nasional hasil keteguhan rakyat Gaza menentang pembunuhan beramai-ramai oleh penjajah Israel, serta memuji sokongan daripada Yemen, Lubnan, Iran dan Iraq terhadap perjuangan Palestin.

Kenyataan itu turut merakam penghargaan kepada perantara Mesir, Qatar dan Turki atas peranan mereka dalam mencapai perjanjian tersebut, sambil menyeru semua pihak memastikan penjajah Israel mematuhi setiap butiran perjanjian.

Ketiga-tiga gerakan berkenaan menegaskan komitmen untuk meneruskan perjuangan sehingga berakhirnya penjajahan Israel, penarikan penuh tenteranya dari Gaza dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gabungan NGO seru rakyat Malaysia turun bantah Trump 26 Oktober ini

Next Post

Palestin isu akidah umat Islam sejagat, bukan sekadar kemanusiaan

Related Posts