Al-Hayya: Kesyahidan anak-anak kami jalan menuju pembebasan

Dalam kemunculan pertamanya selepas terselamat daripada cubaan pembunuhan di Doha, Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya menegaskan bahawa darah para syuhada, termasuk anak-anaknya sendiri, akan menjadi jalan menuju kemenangan dan kehinaan bagi penjajah Zionis.

Dalam ucapan rakaman yang disiarkan oleh televisyen Al-Araby, al-Hayya menyampaikan mesej sumud (keteguhan) dan perpaduan, sambil menegaskan bahawa beliau tidak membezakan antara anak-anaknya dengan penduduk Gaza yang lain.

“Sebesar mana pun kesakitan kehilangan anak saya, pengiring saya dan para syuhada lain, saya tidak membezakan mereka dengan anak-anak Gaza yang lain, semuanya adalah anak-anak saya,” katanya.

Cubaan pembunuhan terhadap al-Hayya berlaku pada 9 September lalu apabila pesawat tentera Israel melancarkan serangan udara di ibu negara Qatar, Doha, yang menyasarkan pemimpin kanan Hamas. Serangan itu mengorbankan beberapa anggota pergerakan berkenaan termasuk anaknya, Humam, serta pengarah pejabatnya.

Serangan yang berlaku di negara yang menjadi pengantara utama rundingan antara Hamas dan Israel itu mencetuskan kecaman antarabangsa, dengan Qatar menyifatkannya sebagai tindakan “keganasan negara”.

Al-Hayya dalam ucapannya turut menyatakan bahawa kepimpinan dan rakyat Gaza berkongsi nasib yang sama dalam perjuangan menentang penjajahan.

“Kami berdoa agar darah anak-anak kami menjadi jalan menuju kemenangan, kehinaan bagi penjajah dan kemuliaan bagi umat,” katanya lagi.

Penampilan al-Hayya yang juga antara tokoh utama pasukan perunding Hamas dilihat sebagai bukti kegagalan operasi pembunuhan terancang oleh Israel.

Kemunculan beliau dibuat ketika tumpuan antarabangsa kini beralih ke Kaherah bagi mengikuti rundingan tidak langsung mengenai pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas tolak campur tangan asing, Gaza hanya boleh ditadbir Palestin

Related Posts