Pemimpin Hamas, Osama Hamdan pada Jumaat menegaskan kesediaan gerakan itu untuk memasuki rundingan terus dengan segera bagi mengatur pertukaran tahanan serta syarat-syarat pelaksanaannya di lapangan.
Hamdan dalam wawancara bersama Al-Araby berkata, isu pertukaran tahanan memerlukan perincian lanjut dan berkemungkinan mengambil masa lebih daripada 72 jam untuk dimuktamadkan.
“Kami bersedia memasuki rundingan terus segera untuk mengatur pertukaran tahanan serta keadaan di lapangan yang berkaitan dengannya,” katanya.
Beliau menegaskan, Hamas menolak sebarang campur tangan asing dalam pentadbiran Gaza dan menegaskan urusan di wilayah itu hanya boleh ditadbir oleh pihak Palestin.
“Kami tidak menerima sebarang pentadbiran asing atau kemasukan pasukan luar ke Gaza. Terdapat persetujuan nasional Palestin bahawa Gaza mesti ditadbir oleh sebuah badan Palestin yang terdiri daripada teknokrat serta dikaitkan dengan Pihak Berkuasa Palestin,” ujarnya.
Hamdan turut menegaskan bahawa sebarang percubaan untuk menyingkirkan Hamas daripada proses politik Palestin tidak akan berjaya, sambil menekankan bahawa isu masa depan negara Palestin perlu diputuskan dalam kerangka kebangsaan yang luas dan bukan hanya oleh Hamas semata-mata.
Menurutnya lagi, realiti di lapangan yang melibatkan tahanan hidup serta mayat perlu diambil kira dalam sebarang perundingan.
Hamdan berkata, Hamas menjangkakan respons positif daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang sejajar dengan pendirian positif Hamas.
“Jika terdapat keseriusan dan sikap positif daripada semua pihak, gencatan senjata boleh diumumkan esok, malah malam ini juga,” tambahnya. – Dunia Palestin