Pada ulang tahun ke-77 Nakbah, iaitu malapetaka yang menyaksikan penjajahan Palestin dan pengusiran besar-besaran rakyatnya, kumpulan-kumpulan pejuang Palestin menegaskan komitmen terhadap prinsip-prinsip nasional dan hak kepulangan pelarian.
Mereka menyeru kepada peningkatan penentangan dan penyatuan barisan nasional, khususnya dalam keadaan pencerobohan berterusan Israel di Gaza, perluasan penindasan di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan kawasan diaspora Palestin.
Dalam kenyataan mereka, Gerakan Hamas memberi penghormatan kepada roh para syuhada Palestin dan para pemimpin perjuangan, khususnya mereka yang gugur dalam pertempuran Taufan Al-Aqsa di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis. Hamas menegaskan bahawa pengorbanan para syuhada menjadi obor perjuangan dan bahan bakar menuju kebebasan.
Hamas menekankan bahawa tiada sebarang bentuk legitimasi boleh diberikan kepada penjajahan Israel di mana-mana inci bumi Palestin, dan menegaskan bahawa rakyat Palestin akan terus melawan sehingga tercapainya pembebasan sepenuhnya dan penubuhan negara Palestin merdeka beribu kota di Baitulmaqdis. Hamas turut menyeru penyatuan barisan nasional serta penyusunan strategi perjuangan menyeluruh sebagai satu kewajipan dalam menghadapi cabaran terhadap perjuangan Palestin.
Hamas juga mengingatkan penderitaan berterusan di Gaza sejak hampir dua tahun lalu sebagai bukti berat sebelah pentadbiran Amerika Syarikat dan negara-negara Barat. Ia menyifatkan hal ini sebagai aib kepada sesiapa sahaja yang berdiam diri atau bersekongkol. Hamas menegaskan bahawa Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa adalah inti konflik, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kedaulatan Israel ke atasnya.
Dalam masa yang sama, Hamas menegaskan bahawa isu pelarian Palestin adalah inti sebenar kepada Nakbah yang masih berterusan. Ia menolak sebarang percubaan untuk menggugat peranan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin) atau menghapuskannya.
Hamas turut memberi amaran terhadap jenayah berterusan Israel ke atas tahanan Palestin dan memikul rejim penjajah tanggungjawab penuh terhadap keselamatan mereka, sambil menggesa campur tangan segera pihak antarabangsa.
Gerakan itu turut mengingatkan bahawa kestabilan negara-negara Arab dan Islam adalah kekuatan strategik kepada perjuangan Palestin, serta memberi amaran bahawa gelombang normalisasi hubungan dengan Israel membahayakan keselamatan serantau. Hamas menyeru negara-negara yang telah menormalisasi hubungan supaya menarik balik langkah tersebut.
Di akhir kenyataan, Hamas menghargai sokongan gerakan perjuangan dari Lubnan, Yaman dan Iraq terhadap Palestin, dan menyeru kepada peningkatan solidariti global serta tekanan ke atas kerajaan-kerajaan yang menyokong penjajahan agar menghentikan pencerobohan ke atas Gaza.
Sementara itu, Gerakan Jihad Islam Palestin dalam kenyataannya menyatakan bahawa Nakbah Palestin masih berterusan selama 77 tahun, namun kini mencapai kemuncaknya melalui perang pembantaian terbuka oleh Israel di Gaza, disokong oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.
Mereka menegaskan bahawa penjajah menyasarkan kanak-kanak, wanita, wartawan, petugas perubatan serta mengebom kem pelarian dan hospital, di samping menjalankan dasar kelaparan terhadap lebih dua juta penduduk Gaza. Di Tebing Barat pula, Israel meneruskan kempen memusnahkan kem pelarian, membunuh para pejuang dan mencemari tempat-tempat suci.
Jihad Islam menegaskan bahawa rakyat Palestin tetap menunjukkan ketabahan luar biasa, terus berjuang di Gaza dan Tebing Barat, sambil berpegang teguh kepada syarat dan tuntutan mereka meskipun menghadapi pembunuhan beramai-ramai. Gerakan itu menekankan bahawa rejim penjajah telah gagal mencapai sebarang matlamat walaupun menggunakan kekuatan ketenteraan maksimum. Sebaliknya, perjuangan rakyat semakin memberi tamparan, dan entiti Israel akan membayar harga jenayahnya dengan kegagalan dan kehancuran.
Jihad Islam menegaskan bahawa projek Zionis sedang menuju kepada perpecahan dalaman, dan bahawa kerajaan Israel sedang menggali liang kuburnya sendiri. Mereka turut memberi penghormatan kepada pejuang dan penyokong perjuangan Palestin dari Yaman, Lubnan, Iran dan semua yang berdiri bersama rakyat Palestin dalam saat genting ini. Mereka mengakhiri kenyataan dengan menegaskan bahawa pembebasan Palestin dari sungai hingga ke laut kini semakin hampir, dan kemenangan itu pasti tiba.
Sementara itu, Gerakan Mujahidin Palestin pula menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha menggugat hak kepulangan pelarian Palestin, dan menyifatkan bahawa hak tersebut tidak akan luput walau ditelan masa. Gerakan itu memuji ketabahan rakyat Palestin di Gaza yang menghadapi jentera perang Zionis dengan penuh keimanan dan semangat juang. Mereka menegaskan bahawa perjuangan bersenjata adalah satu-satunya pilihan strategik rakyat Palestin, dan bahawa pengorbanan para syuhada, tahanan dan yang cedera akan terus menyemarakkan jalan kebebasan.
Gerakan itu juga memikul Britain dan sekutu Baratnya sebagai bertanggungjawab terhadap Nakbah yang berpanjangan, kerana merekalah yang menanam entiti Zionis di bumi Palestin. Mereka menyeru masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab terhadap jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin.
Gerakan Mujahidin juga mengajak rakyat Palestin di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan wilayah Palestin 1948 untuk meningkatkan perjuangan dan menghadapi penjajah secara langsung, sambil menekankan bahawa satu-satunya cara untuk menyekat rancangan musuh ialah melalui perpaduan dan perjuangan menyeluruh.
Dalam satu kenyataan ringkas, Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) pula menyampaikan mesej jelas: “Sama ada Palestin… atau api, dari generasi ke generasi. Dalam menghadapi Nakbah yang terus berulang, kami melawan, kami menyatukan barisan, dan kami mara ke arah kepulangan dan pembebasan.” – Quds News Network