Operasi perobohan oleh tentera Israel yang bertindak meletupkan bangunan di kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki memusnahkan kira-kira 20 struktur bangunan, lapor agensi berita Palestin.
Rakaman yang merekodkan perobohan itu menunjukkan beberapa siri letupan serentak dilakukan di kem yang padat dengan penduduk.
Kepulan asap menyelubungi bandar Palestin di mana tentera Israel menjalankan operasi ketenteraan besar-besaran selama hampir dua minggu, atas alasan menyasarkan pejuang Palestin dan bertujuan merampas simpanan senjata mereka.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dalam satu kenyataan menggesa bantuan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan operasi ketenteraan Israel.
Mereka juga menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghentikan pencerobohan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
Tentera Israel berkata 23 struktur ‘dimusnahkan’ di utara Tebing Barat selepas makmal bahan letupan, senjata dan pusat pemerhatian ditemui di bangunan berkenaan.
Dalam kenyataan sebelumnya pada Ahad, tentera Israel berkongsi imej senjata api, peluru, dan apa yang kelihatan seperti tong gas, bagaimanapun mereka tidak menyatakan lokasi tepat di mana imej berkenaan dirakam.
![Askar Israel berjalan di sepanjang jalan ketika serbuan tentera di kem pelarian Palestin al-Fara, selatan Jenin di Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP](https://assets.bharian.com.my/images/articles/sold_1738552194.jpg)
Sementara itu, Pengarah Hospital Kerajaan Jenin, Wisam Baker, memberitahu agensi berita negara Palestin, sebahagian daripada hospital itu rosak dalam letupan itu, namun tiada kemalangan jiwa.
Jenin adalah tempat perlindungan kepada kem pelarian yang penuh sesak, merangkumi rakyat Palestin yang dihalau keluar atau melarikan diri dari rumah mereka, ketika perang 1948 apabila negara Israel ditubuhkan.
Kem pelarian itu menjadi pusat aktiviti pejuang selama beberapa dekad dan berulang kali menjadi sasaran serangan pasukan keselamatan Israel.
Tentera Israel yang dibantu oleh helikopter dan jentolak berperisai, memulakan serangan ke atas bandar itu pada 21 Januari, dua hari selepas gencatan senjata di Gaza antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas berkuat kuasa.
Israel menganggap Tebing Barat sebagai salah satu daripada peperangannya menentang pelbagai kumpulan yang disokong Iran yang berpangkalan di sekitar sempadannya, dari Gaza ke Lubnan, termasuk Houthi di Yaman.
Israel pantas mengalihkan tumpuan serangannya ke Tebing Barat sebaik sahaja pertempuran dihentikan di Gaza susulan gencatan senjata.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA) berkata hampir kesemua 20,000 penduduk kem Jenin dipindahkan sejak dua bulan lalu.
![Sebuah kenderaan tentera Israel melalui jalan yang rosak ketika serbuan tentera di kem pelarian Palestin al-Fara, selatan Jenin di Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP](https://assets.bharian.com.my/images/articles/vehi%27_1738552191.jpg)
Semalam, Hamas menggesa untuk ‘memperhebatkan tindakan’ terhadap Israel berikutan perobohan bangunan di Jenin.
Pihak Berkuasa Palestin menjalankan tadbir urus terhad ke atas Tebing Barat di mana kira-kira tiga juta rakyat Palestin tinggal dan di mana Israel mengekalkan kawalan ketenteraan penuh.
Tentera Israel terbabit dalam pertempuran bersenjata dengan pejuang tempatan sejak operasi bermula.
Rabu lalu, Menteri Pertahanan Israel Katz, berkata pasukan keselamatan akan kekal sehingga operasi selesai tanpa menyatakan bila ia akan berlaku.
Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh sejak operasi ketenteraan Israel bermula di Jenin, termasuk sembilan anggota kumpulan bersenjata, seorang lelaki berusia 73 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, menurut pegawai Palestin.
Tentera Israel berkata pihaknya telah membunuh sekurang-kurangnya 35 pejuang dan menahan lebih 100 individu dikehendaki.
Agensi berita negara Palestin melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun dibunuh tentera Israel semalam yang menyerbu kem pelarian berhampiran Hebron. – Berita Harian