Hizbullah lancar serangan roket ke atas Tel Aviv

Asap tebal dan api kelihatan di kawasan pinggir selatan Beirut selepas serangan Israel, dilihat dari Baabda, Lubnan, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri kelihatan di latar belakang. – Foto REUTERS

Hizbullah di Lubnan melancarkan serangan lebih 250 roket ke arah Israel pada Ahad dan tentera Israel berkata, sejumlah rumah musnah atau terbakar berhampiran Tel Aviv.

Ia adalah serangan balas, sehari selepas serangan udara ganas Israel membunuh sekurang-kurangnya 29 orang di tengah Beirut.

Israel juga melancarkan serangan ke atas kawasan pinggir selatan Beirut yang dikuasai Hizbullah, di mana pengeboman diperhebatkan sejak dua minggu lalu, meskipun rundingan gencatan senjata di Lubnan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemajuan.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, pada Ahad menyatakan bahawa cadangan gencatan senjata oleh AS sedang menunggu kelulusan akhir daripada Israel.

“Kita mesti menekan kerajaan Israel dan mengekalkan tekanan terhadap Hezbollah untuk menerima cadangan gencatan senjata AS,” katanya di Beirut selepas bertemu dengan pegawai-pegawai di Lubnan.

Media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengadakan mesyuarat Kabinet keselamatannya pada jam 5 petang (1500 GMT).

Penduduk memeriksa rumah keluarga mereka yang rosak di lokasi salah satu serangan peluru berpandu Hizbullah di Rinatiya, Israel. – Foto REUTERS

Menurut wartawan Axios, Barak Ravid, dalam satu hantaran di media sosial yang memetik seorang pegawai Israel tanpa nama, Israel sedang menuju ke arah persetujuan gencatan senjata di Lubnan.

Namun, laporan berasingan daripada penyiar awam Israel, Kan, menyatakan bahawa tiada persetujuan diberikan berhubung perjanjian di Lubnan, dengan beberapa isu masih belum diselesaikan.

Hizbullah, yang sebelum ini berjanji untuk membalas serangan ke atas Beirut dengan menyasarkan Tel Aviv, berkata mereka melancarkan peluru berpandu tepat ke dua tapak ketenteraan di Tel Aviv dan kawasan sekitarnya.

Polis berkata, terdapat beberapa lokasi kesan hentaman di kawasan Petah Tikvah, di sebelah timur Tel Aviv dan beberapa orang mengalami kecederaan ringan.

Tentera Pertahanan Israel, berkata satu hentaman secara langsung di sebuah kawasan kejiranan menyebabkan ‘rumah terbakar dan musnah’.

Rakaman televisyen menunjukkan sebuah apartmen yang rosak akibat serangan roket.

Tentera Israel berkata, Hizbullah melepaskan 250 roket ke arah Israel, yang mana banyak daripadanya berjaya dipintas, dengan siren berbunyi di seluruh negara. Sekurang-kurangnya empat orang cedera akibat serpihan roket.

Petugas perubatan menyelamatkan seekor anjing di lokasi serangan peluru berpandu Hizbullah melintasi sempadan ke Petah Tikva, Israel. – Foto REUTERS

Video yang diperoleh Reuters menunjukkan satu peluru meletup apabila ia menghentam bumbung sebuah bangunan di bandar Nahariya, utara Israel.

Tentera Israel memberi amaran di media sosial yang mereka merancang untuk menyasarkan kemudahan Hizbullah di selatan Beirut sebelum melancarkan serangan yang meruntuhkan dua blok apartmen.

Menurut sumber keselamatan di Lubnan selepas serangan itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, mereka menyerang pusat kawalan yang ‘disasarkan secara sengaja di antara bangunan awam’.

Pada Ahad, tentera Israel berkata, mereka melancarkan serangan ke atas 12 pusat kawalan Hizbullah di pinggir selatan Beirut di Dahiyeh.

Pada Sabtu, mereka melancarkan salah satu serangan besar yang paling banyak mengakibatkan kematian di pusat Beirut.

IDF tidak memberikan sebarang komen mengenai serangan pada Sabtu di ibu kota Lubnan itu atau menyatakan sasaran serangan mereka.

Israel memulakan serangan balas terhadap Hizbollah yang disokong Iran pada September, dengan mengebom wilayah selatan, Lembah Bekaa dan pinggir selatan Beirut dengan serangan udara selepas hampir setahun pertempuran yang tercetus akibat perang di Gaza. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Keputusan ICC kembalikan keadilan dan lindungi kemanusiaan

Next Post

Hujan lebat menambah kesukaran penduduk Gaza yang berpindah

Related Posts