Serangan Israel ke atas sekolah UNRWA dapat kecaman global

Serangan maut Israel ke atas sebuah sekolah di Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang di sekolah yang dijadikan tempat perlindungan untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat perang mencetuskan kecaman global.

Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan militan Hamas yang mana serangan itu meruntuhkan sebahagian daripada Sekolah Al-Jawni yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Nuseirat.

“Untuk kali kelima, pasukan Israel membedil Sekolah Al-Jawni yang diuruskan oleh UNRWA, mengorbankan 18 rakyat,” kata jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, di Telegram.

UNRWA kemudiannya mengesahkan bahawa enam kakitangannya terbunuh dalam dua serangan Israel di sekolah itu dan kawasan sekitarnya, menyifatkan insiden itu sebagai angka kematian tertinggi dalam satu kejadian bagi pasukannya.

“Antara yang terbunuh termasuk pengurus tempat perlindungan UNRWA dan ahli pasukan lain yang memberi bantuan kepada mereka yang terjejas,” menurut kenyataan UNRWA di media sosial X

“Sekolah dan infrastruktur awam lain mesti dilindungi pada setiap masa. Mereka bukan sasaran serangan.”

Ketua PBB, Antonio Guterres, menyifatkan serangan itu sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric, mengesahkan bahawa wanita dan kanak-kanak turut terkorban dalam serangan itu.

Tentera Israel menyatakan bahawa mereka melancarkan serangan “tepat” terhadap militan Hamas di kawasan sekolah itu, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai hasilnya dan mendakwa sudah mengambil “langkah-langkah” untuk mengurangkan risiko kepada orang awam.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell, meluahkan kemarahannya terhadap kematian itu dan mengatakan serangan itu menunjukkan “pengabaian terhadap prinsip asas” undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menegaskan bahawa “tapak-tapak kemanusiaan perlu dilindungi”, dan menyatakan bahawa perkara itu terus dibangkitkan kepada Israel.

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, berkata bahawa UNRWA tidak memberikan senarai nama pekerja yang terbunuh, walaupun “beberapa kali diminta”.

Shoshani mendakwa siasatan tentera mendapati bahawa “sebilangan besar nama yang muncul di media sosial adalah pengoperasi pengganas Hamas”.

Jurucakap UNRWA, Juliette Touma, menafikan sebarang permintaan sedemikian dan menyatakan bahawa agensi itu sudah menyediakan senarai kakitangannya kepada Israel setiap tahun.

UNRWA juga menyeru supaya “siasatan bebas” dijalankan mengenai dakwaan penggunaan fasiliti awam untuk tujuan ketenteraan.

Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, mendakwa bahawa sekolah itu “bukan lagi sekolah” kerana digunakan Hamas sebagai pangkalan serangan, menjadikannya “sasaran sah”. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mesir berkata rundingan gencatan senjata Gaza di Qatar ‘serius’

Next Post

Ketua tentera Israel rancang letak jawatan pada Disember

Related Posts