Tentera penjajah Israel memuat naik 3.5 juta gambar ke platform awan Amazon bagi tujuan pengecaman wajah dan analisis imej rakyat Palestin, menurut laporan akhbar Britain, The Guardian yang dipetik Anadolu.
Memetik dokumen yang dibocorkan serta sumber ketenteraan, akhbar itu melaporkan bahawa gambar berkenaan dipindahkan pada awal 2024 ke sebuah pusat data Amazon berhampiran Tel Aviv oleh sebuah unit tentera penjajah Israel yang dikenali sebagai Rolling Stone.
Unit berkenaan, yang mengendalikan pangkalan data berskala besar mengenai rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, memaklumkan kepada Amazon bahawa pihaknya bercadang menggunakan Rekognition, iaitu perkhidmatan analisis imej berasaskan kecerdasan buatan (AI) milik syarikat itu, bagi tujuan pengecaman wajah.
Menurut laporan itu, tentera penjajah Israel secara rutin merakam gambar rakyat Palestin yang dipindahkan ketika mereka melalui pusat pemeriksaan tentera susulan pencerobohan darat Israel ke Gaza pada Oktober 2023.
Teknologi berkenaan digunakan untuk membandingkan gambar tersebut dengan pangkalan data ketenteraan bagi mengenal pasti rakyat Palestin serta menandakan individu yang disyaki sebagai anggota kumpulan pejuang, menurut laporan itu.
The Guardian turut mendedahkan bahawa Israel memindahkan maklumat risikan sensitif dan data ketenteraan kepada Amazon Web Services menerusi Projek Nimbus, iaitu perjanjian pengkomputeran awan bernilai berbilion dolar yang ditandatangani bersama Amazon dan Google pada 2021.
Siasatan terdahulu oleh media Israel, +972 Magazine dan Local Call, pada April 2024 mendakwa tentera Israel menggunakan sistem kecerdasan buatan yang dikenali sebagai Lavender untuk mengenal pasti sehingga 37,000 rakyat Palestin sebagai sasaran berpotensi bagi serangan udara di Gaza.
Memetik pegawai risikan Israel, laporan itu menyatakan bahawa komander tentera membenarkan serangan terhadap individu yang disyaki sebagai anggota kumpulan pejuang berpangkat rendah, meskipun antara 15 hingga 20 orang awam dijangka terkorban dalam setiap serangan.
Satu lagi sistem yang dikenali sebagai “Where’s Daddy?” dilaporkan digunakan untuk menjejaki individu yang disyaki sebagai anggota kumpulan pejuang sehingga ke rumah keluarga mereka, yang sering mengakibatkan penghuni lain turut terbunuh dalam serangan.
Secara berasingan, The New York Times melaporkan pada Mac 2024 bahawa teknologi pengecaman wajah Israel di Gaza tersilap mengenal pasti orang awam sebagai individu yang disyaki anggota kumpulan pejuang, sekali gus menyebabkan mereka ditahan secara salah. – Dunia Palestin