Israel terus menukar nama jalan, mercu tanda dan tapak bersejarah di Baitulmaqdis sebagai sebahagian dasar menggantikan nama tempat tradisional Arab dengan nama Ibrani, menurut Pentadbiran Baitulmaqdis pada Rabu yang dipetik Anadolu.
Badan pentadbiran itu berkata Israel memasang papan tanda bertulis “Pintu Lama” selepas menanggalkan papan tanda yang menggunakan nama asal Bab al-Amoud, atau Pintu Damsyik, antara pintu masuk paling terkenal ke Kota Lama Baitulmaqdis.
Menurutnya, langkah itu bukan sekadar perubahan pentadbiran, tetapi sebahagian usaha lebih luas untuk mengubah landskap bandar dan budaya Baitulmaqdis serta menghapuskan nama tempat Arab yang bersejarah.
Badan pentadbiran itu menegaskan bahawa nama pintu, jalan dan mercu tanda Baitulmaqdis merupakan sebahagian daripada memori nasional, sejarah dan budaya kota tersebut. Penukaran nama itu disifatkan mengancam warisan Arab, Islam dan Kristian Baitulmaqdis.
Ia turut memberi amaran tentang “usaha berterusan mengubah watak sejarah Baitulmaqdis”, sambil menegaskan bahawa percubaan Israel untuk mewujudkan realiti baharu tidak akan memadam sejarah atau memori kolektif kota tersebut. – Dunia Palestin