Kelahiran ‘lembu merah’ tidak akan mengubah status Masjid al-Aqsa

Timbalan Ketua Gerakan Islam di Palestin 1948, Syeikh Kamal al-Khatib menegaskan bahawa sebarang dakwaan berkaitan kelahiran “lembu merah” yang dianggap signifikan oleh kumpulan agama Yahudi ekstremis tidak akan mengubah kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai hak mutlak umat Islam.

Beliau berkata, sama ada lembu itu berwarna merah, kuning atau hitam, dan tidak kira di mana ia dilahirkan, Palestin atau Texas, Masjid al-Aqsa akan terus kekal sebagai masjid yang diberkati dan tidak boleh dipisahkan daripada identiti Islam.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman oleh Institut Nasional Lembu Merah, sebuah institusi yang dikaitkan dengan Institut Kuil di Israel, mengenai kelahiran seekor anak lembu yang didakwa memenuhi ciri-ciri “lembu merah” seperti yang disebut dalam tradisi keagamaan Yahudi.

Menurut kepercayaan sebahagian kumpulan agama Yahudi, lembu tersebut akan digunakan dalam upacara penyucian tertentu yang dianggap sebagai antara syarat penting sebelum pembinaan Kuil Ketiga di lokasi yang mereka dakwa sebagai tapak kuil purba.

Syeikh Kamal berkata golongan tersebut percaya abu daripada lembu itu boleh digunakan untuk tujuan penyucian kawasan Masjid al-Aqsa, sekali gus membuka jalan kepada peningkatan kemasukan penganut Yahudi ke kawasan berkenaan.

Beliau turut menyentuh dakwaan bahawa kelahiran anak lembu itu di Palestin pada ketika rantau tersebut berdepan ketegangan dan konflik berterusan telah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai petanda keagamaan.

Bagaimanapun, beliau menolak sebarang tafsiran yang boleh menjejaskan status Masjid al-Aqsa.

“Masjid al-Aqsa dengan seluruh kawasannya yang meliputi kira-kira 144 dunum, termasuk struktur di atas dan di bawah tanah, adalah hak umat Islam sepenuhnya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tiada pihak lain mempunyai hak ke atas mana-mana bahagian kawasan suci tersebut dan menyifatkan usaha untuk mengaitkan kelahiran lembu merah dengan perubahan status Al-Aqsa sebagai tidak berasas.

Syeikh Kamal turut menyeru umat Islam agar terus mempertahankan keyakinan terhadap kedudukan Masjid al-Aqsa serta tidak terpengaruh dengan naratif yang menurutnya bertujuan mengubah realiti sejarah dan agama di kawasan berkenaan. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Israel perluas ‘garisan kuning’ di Gaza untuk gagalkan rundingan

Next Post

Lebih 1,000 rakyat Palestin dibunuh selepas ‘gencatan senjata’ Gaza

Related Posts