Khatib Masjid al-Aqsa, Syeikh Ikrimah Sabri memberi amaran mengenai bahaya rancangan baharu Israel untuk menghalang laungan azan di Baitulmaqdis dan wilayah Palestin yang dijajah.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pengerusi Badan Tertinggi Islam Baitulmaqdis itu berkata bahawa isu azan kembali dibangkitkan selepas beberapa percubaan yang gagal sebelum ini untuk menghalangnya atau mengurangkan kelantangan bunyinya.
Pada Ahad lalu, Jawatankuasa Menteri Israel bagi Hal Ehwal Perundangan meluluskan rang undang-undang berkaitan azan yang dikemukakan oleh parti kanan ekstrem Otzma Yehudit yang dipimpin oleh Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir.
Rang undang-undang itu menetapkan bahawa tiada sistem pembesar suara boleh dipasang atau digunakan di mana-mana masjid tanpa lesen, dan pemberian lesen akan dipertimbangkan berdasarkan tahap “kebisingan” serta jarak masjid daripada kawasan perumahan.
Ia juga memberi kuasa kepada pihak polis untuk menuntut penghentian segera laungan azan dan merampas pembesar suara. Rang undang-undang tersebut masih memerlukan kelulusan Knesset pada tarikh yang belum ditetapkan sebelum boleh dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
Syeikh Ikrimah menegaskan bahawa percubaan semasa untuk menghalang azan telah mengambil dimensi yang lebih berbahaya, iaitu melalui usaha membenarkannya dari sudut perundangan.
Beliau berkata, dari sudut undang-undang antarabangsa dan politik, pihak penjajah tidak berhak mengubah status quo di wilayah yang dijajah.
Beliau turut menegaskan bahawa azan merupakan syiar dan ibadah dalam Islam, justeru pihak penjajah tidak berhak campur tangan atau cuba menghalangnya kerana tindakan itu bercanggah dengan kebebasan beragama dan beribadah.
Syeikh Ikrimah mengingatkan bahawa individu pertama yang melaungkan azan di pekarangan Masjid al-Aqsa dan di langit Baitulmaqdis ialah sahabat Nabi SAW, Bilal bin Rabah RA, muazin Rasulullah SAW, ketika pembukaan Baitulmaqdis oleh Khalifah Umar al-Khattab RA pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi.
Beliau menambah bahawa Islam tidak campur tangan dalam ibadah dan ritual penganut agama samawi lain, bahkan memelihara serta menghormatinya.
Beliau turut menolak dakwaan rejim penjajah Israel bahawa azan menyebabkan gangguan bunyi, sambil menegaskan bahawa bunyi yang sebenar-benarnya mengganggu ialah bunyi mesin perang seperti pesawat, kereta kebal, jentolak dan bom yang digunakan dalam serangan ketenteraan. – Dunia Palestin