Sembilan menteri Israel dan 13 ahli parlimen menggesa polis membenarkan pendatang menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa pada Jumaat sempena ulang tahun penjajahan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur.
Menurut Anadolu, permintaan itu dibuat menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada polis dan diterbitkan pada Isnin oleh Beyadenu, sebuah pertubuhan pelampau kanan yang menggalakkan pencerobohan pendatang Israel ke Masjid al-Aqsa.
Kebanyakan penandatangan terdiri daripada ahli parti sayap kanan Likud yang dipimpin Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa sejak 2024 atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Menteri-menteri Likud yang menandatangani permintaan itu termasuk Menteri Pertahanan Israel Katz, Menteri Kehakiman Yariv Levin, Menteri Kesihatan Haim Katz, Menteri Tenaga Eli Cohen, Menteri Komunikasi Shlomo Karhi, Menteri Sukan Miki Zohar, Menteri Hal Ehwal Diaspora Amichai Chikli dan Menteri Inovasi Gila Gamliel. Menteri di Kementerian Kewangan, Zeev Elkin daripada blok sayap kanan New Hope, turut menandatangani surat tersebut.
Sepuluh ahli parlimen Likud dan tiga ahli parlimen daripada parti Religious Zionism yang dipimpin Menteri Kewangan Bezalel Smotrich turut menandatangani surat itu.
Tiga menteri telah menandatangani permintaan tersebut minggu lalu, dan Radio Tentera Israel melaporkan ketika itu bahawa polis dijangka menolak permintaan berkenaan.
Namun, masih tidak jelas sama ada pendirian itu akan kekal selepas jumlah menteri yang menyokong permintaan tersebut meningkat daripada tiga kepada sembilan orang.
Ulang tahun penjajahan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur pada 1967 tahun ini jatuh pada 15 Mei, yang bersamaan hari Jumaat menurut kalendar Ibrani. – Dunia Palestin