Hamas menegaskan bahawa sebarang penyusunan semula keadaan di Semenanjung Gaza tidak sama sekali menandakan berakhirnya kewujudan Hamas atau kumpulan perjuangan nasional Palestin.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata langkah penyusunan itu, termasuk pengunduran Hamas daripada aspek pentadbiran, dilakukan semata-mata demi memihak kepada kepentingan rakyat Palestin serta bagi mengurangkan penderitaan yang berpanjangan akibat pencerobohan dan sekatan berterusan oleh Israel.
“Penyusunan ini bukan satu pengunduran daripada peranan nasional kami atau agenda pembebasan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Qassem, Hamas akan terus menunaikan kewajipan dalam perjuangan nasional bagi menuntut hak-hak rakyat Palestin terhadap kebebasan, kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri.
Beliau menegaskan bahawa komitmen Hamas terhadap perjuangan rakyat Palestin kekal utuh meskipun berlaku perubahan dalam pengurusan pentadbiran di Gaza, sambil menekankan bahawa keutamaan ketika ini adalah melindungi rakyat awam dan mengurangkan penderitaan kemanusiaan yang semakin meruncing. – Dunia Palestin