Bagaimana Israel terlibat dalam genosid di Sudan?

Berpuluh-puluh orang telah dibunuh dalam siri pembunuhan beramai-ramai baharu oleh Rapid Support Forces (RSF) semasa mereka mengambil alih bandar El-Fasher di wilayah Darfur barat Sudan, menurut laporan perubatan dan kemanusiaan.

Rangkaian Doktor Sudan menggambarkan situasi itu sebagai “genosid yang sebenar”, dengan menyatakan bahawa RSF, yang sedang berperang dengan tentera Sudan untuk menguasai negara itu, telah membunuh lebih daripada 1,500 orang dalam tempoh hanya tiga hari ketika orang awam cuba melarikan diri daripada bandar yang sedang dikepung.

“Pembunuhan beramai-ramai yang sedang disaksikan dunia hari ini merupakan kesinambungan daripada apa yang berlaku di El-Fasher lebih setahun setengah lalu, apabila lebih 14,000 orang awam dibunuh akibat pengeboman, kebuluran, dan hukuman mati,” kata kumpulan itu, sambil menyifatkan serangan itu sebagai “kempen pembasmian yang disengajakan dan sistematik.”

Imej satelit daripada Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Universiti Yale menunjukkan kelompok objek yang menyerupai mayat manusia serta kawasan besar dengan perubahan warna merah di tanah selepas RSF mara ke dalam bandar tersebut.

Sekurang-kurangnya 2,000 orang dilaporkan terbunuh sejak jenayah itu bermula, termasuk sukarelawan dan petugas Bulan Sabit Merah yang disasarkan di masjid-masjid. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa 460 orang dibunuh di Hospital Bersalin Saudi, dengan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan bahawa organisasi itu “gerun dan amat terkejut (dengan apa yang berlaku).”

“Cap jari” Israel di tempat kejadian

Walaupun kekejaman RSF di El-Fasher mengejutkan dunia, semakin banyak bukti menunjukkan wujudnya hubungan sulit antara Israel dan kumpulan paramilitari itu.

Siasatan terbaru oleh Sudan Transparency mendedahkan bahawa perkhidmatan perisikan Israel telah membuka saluran komunikasi dengan Komander RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) seawal tahun 2021. Laporan itu merujuk kepada satu penerbangan rahsia pada Mei 2021 yang dikaitkan dengan bekas pegawai tentera Israel, yang dilaporkan menghantar peralatan pengawasan canggih ke Khartoum selepas persinggahan selama 45 minit.

“Hubungan Israel di Sudan tidak hanya terbatas kepada SAF (Angkatan Tentera Sudan), tetapi turut melibatkan Komander RSF, Hemedti,” kata laporan itu, sambil menambah bahawa “penghantaran peralatan pengintipan canggih” adalah sebahagian daripada pertukaran rahsia tersebut.

Penyelidik bebas juga mengenal pasti pelancar roket berganda buatan Israel jenis LAR-160 yang dilaporkan berada dalam milikan RSF, sistem yang pada asalnya direka oleh Israel Military Industries.

Menurut Kribsoo Diallo, seorang penyelidik Pan-Afrika berpangkalan di Kaherah yang ditemu bual oleh QNN, hubungan ini berkemungkinan memberi “kesan langsung di medan pertempuran.”

“Jika disahkan, hubungan sedemikian mungkin telah meningkatkan keupayaan operasi RSF melalui data risikan atau sistem komunikasi canggih,” kata Diallo. “Ini boleh menjelaskan bagaimana mereka mampu mengekalkan pengepungan lama ke atas El-Fasher dan melancarkan serangan tersusun ke atas kawasan awam.”

Beliau menambah bahawa kewujudan hubungan seperti itu, walaupun secara tidak langsung melalui rangkaian perdagangan senjata swasta memberi RSF “rasa perlindungan politik dan kekebalan,” sekali gus melemahkan usaha akauntabiliti antarabangsa.

RSF meniru taktik Israel di Gaza untuk melakukan kekejaman

Pemerhati berkata RSF kini meniru bahasa dan taktik yang digunakan Israel di Gaza, dengan menggambarkan keganasan besar-besaran sebagai “keperluan ketenteraan.”

Siasatan oleh Al Jazeera mendapati bahawa RSF menggunakan justifikasi undang-undang gaya Israel untuk menyerang kawasan awam, seperti menandakan kem perlindungan Zamzam sebagai “zon ketenteraan” sebelum melancarkan serangan. Pakar undang-undang berkata taktik ini mencerminkan hujah Israel di Gaza, di mana hospital, sekolah dan tempat perlindungan dibom dengan alasan kononnya ia “pangkalan Hamas.”

Seorang penasihat RSF malah memberitahu media Israel bahawa tindakan tentera Sudan “menyerupai serangan pengganas Palestin terhadap Israel,” suatu retorik yang dilihat bertujuan menarik simpati daripada Tel Aviv.

“RSF sedang menggunakan bahasa yang sama seperti Israel untuk menghalalkan hukuman kolektif,” kata Luigi Daniele, pensyarah kanan dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Nottingham Law School. “Mengisytiharkan seluruh kawasan kejiranan atau kem sebagai ‘zon ketenteraan’ adalah usaha jelas untuk menafikan perlindungan kepada orang awam, satu taktik yang dimulakan di Gaza.”

Duta Sudan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Al-Harith Idriss Al-Harith Mohamed, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa pembunuhan beramai-ramai di El-Fasher “menepati takrif undang-undang sebagai genosid.”

“Wanita dan kanak-kanak perempuan diserang pada waktu siang,” katanya. “Apa yang kita saksikan di El-Fasher ialah kesinambungan kempen pembersihan etnik yang sistematik sejak tahun 2023.”

Kumpulan hak asasi manusia berkata bahawa kebisuan antarabangsa terhadap kekejaman di Gaza dan Sudan menunjukkan bagaimana pakatan luar serta hubungan perisikan melindungi pelaku daripada tindakan undang-undang.

“Apa yang kita lihat di El-Fasher bukan sekadar tragedi tempatan,” kata Diallo. “Ia adalah pengulangan corak global, di mana teknologi ketenteraan, perlindungan politik dan kerjasama perisikan merentasi sempadan untuk mengekalkan kekebalan.”

Kepentingan strategik dan faktor Laut Merah

Penganalisis percaya penglibatan Israel di Sudan melangkaui hubungan sejarahnya dengan tentera Sudan atau perjanjian normalisasi yang pernah dijalin. Kedudukan strategik Sudan di Laut Merah memberi Israel kelebihan keselamatan serta pengaruh geopolitik dalam memantau laluan maritim dan mengekang pengaruh Iran atau China.

“Sudan memberikan Israel pintu masuk ke Tanduk Afrika dan wilayah Sahel,” kata Diallo kepada QNN. “Dengan membina hubungan dengan kedua-dua pihak iaitu Jeneral Burhan dan Hemedti, Israel memastikan pengaruhnya kekal tidak kira siapa yang menang, sekali gus menjamin kepentingannya tanpa bergantung pada hasil dalaman Sudan.”

Beliau menambah bahawa tindakan imbangan ini “menyulitkan usaha akauntabiliti antarabangsa dan menjadikan konflik Sudan sebagai pentas perebutan kuasa serantau.”

Diterjemah oleh Dunia Palestin dari portal Quds News Network

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Presiden Colombia: Gaza adalah ibu kota muqawamah dunia

Related Posts