Satu tinjauan pendapat awam baharu menunjukkan bahawa majoriti rakyat Palestin menolak sebarang usaha untuk melucutkan senjata Hamas dan tetap tidak yakin bahawa rancangan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menamatkan perang rejim penjajah Zionis terhadap Gaza, lapor Roya News.
Menurut Palestinian Centre for Policy and Survey Research (PCPSR), sekitar 70 peratus rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat dan Gaza berkata mereka menentang pelucutan senjata Hamas, walaupun ia berisiko membawa kepada lebih banyak serangan rejim penjajah Zionis. Tinjauan itu, yang dijalankan antara 22 hingga 25 Oktober, melibatkan 1,200 responden, 760 di Tebing Barat dan 440 di Gaza, dengan margin ralat sebanyak 3.5 peratus.
Penentangan terhadap pelucutan senjata Hamas adalah paling tinggi di Tebing Barat, di mana 80 peratus responden berkata sayap bersenjata kumpulan itu harus mengekalkan senjata mereka. Di Gaza pula, yang telah lama menanggung penderitaan akibat pengeboman rejim penjajah Zionis, 55 peratus menentang pelucutan senjata.
Kesangsian terhadap cadangan damai Trump, yang merangkumi gencatan senjata dan rancangan penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza juga meluas. Sebanyak 62 peratus rakyat Palestin berkata mereka tidak percaya inisiatif itu akan “menamatkan perang sepenuhnya.” Ketidakpercayaan ini paling kuat di Tebing Barat (67 peratus) dan lebih rendah di Gaza (54 peratus).
Tinjauan itu turut mendedahkan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan kepimpinannya. Sebanyak 85 peratus responden mahu Presiden Mahmoud Abbas meletak jawatan, manakala hanya 23 peratus menyatakan kepuasan terhadap prestasinya.
Sementara itu, Hamas terus mengatasi Fatah dari segi populariti. Kumpulan itu kini mendapat sokongan 35 peratus rakyat Palestin, berbanding 24 peratus bagi Fatah. Sokongan terhadap Hamas sedikit lebih tinggi di Gaza (41 peratus) berbanding di Tebing Barat (32 peratus).
“Dua tahun kebelakangan ini telah membawa kepada peningkatan sokongan terhadap Hamas, bukannya sebaliknya, dan kesimpulan ini adalah benar bagi kedua-dua Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, namun lebih ketara di Tebing Barat,” kata laporan PCPSR itu.
Berhubung cadangan Trump untuk menubuhkan jawatankuasa teknokrat Palestin yang tidak berparti bagi mentadbir Gaza, pandangan responden terbahagi: 53 peratus menentangnya, manakala 45 peratus menyokong. Sokongan meningkat kepada 67 peratus apabila responden diberitahu bahawa jawatankuasa itu akan mengawasi usaha pembinaan semula Gaza.
Sikap terhadap pasukan pengaman Arab atau Muslim juga berbeza. Di Tebing Barat, 78 peratus menolak idea tersebut, manakala di Gaza penolakan menurun kepada 52 peratus, dalam lingkungan margin ralat. Namun, sokongan meningkat apabila responden diberitahu bahawa pasukan pengaman itu akan menjaga sempadan Gaza tanpa melucutkan senjata Hamas, dengan sokongan naik kepada 53 peratus di Gaza dan 43 peratus di Tebing Barat. – Dunia Palestin