Dua roket yang dilancarkan dari selatan Syria telah jatuh di kawasan terbuka berhampiran Bukit Golan yang diduduki Israel, dakwa penyiar awam Israel KAN pada malam Selasa.
Menurut akhbar Israel Yedioth Ahronoth, siren amaran telah diaktifkan di komuniti Haspin dan Ramat Magshimim di selatan Bukit Golan.
“Butiran sedang disiasat,” kata jurucakap tentera Israel seperti yang dipetik oleh akhbar itu.
Penduduk di kawasan terbabit melaporkan mendengar bunyi letupan sejurus selepas siren dibunyikan, lapor Yedioth Ahronoth lagi.
Tentera Israel kemudian melancarkan tembakan artileri ke arah sumber pelancaran roket tersebut, tambah laporan itu.
Dalam insiden berasingan, tentera Israel memaklumkan bahawa mereka telah memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman, susulan bunyi siren yang kedengaran di beberapa kawasan termasuk Galilee.
Radio Tentera Israel pula melaporkan bahawa siren serangan udara turut diaktifkan di wilayah Dan, Baitulmaqdis dan Nof HaGalil. – Anadolu