Hamas: Masjid al-Aqsa amanah sejarah yang wajib dibebaskan

Hamas menegaskan bahawa Masjid al-Aqsa merupakan amanah sejarah umat Islam dan tindakan serius dituntut bagi mempertahankan serta membebaskannya daripada penjajahan Zionis.

Dalam satu kenyataan sempena memperingati Israk dan Mikraj, Hamas berkata peristiwa agung itu sentiasa mengingatkan umat Islam tentang hubungan mendalam mereka dengan Masjid al-Aqsa, kepentingan perpaduan umat serta tanggungjawab kolektif dalam mempertahankan kesucian tempat-tempat suci Islam, khususnya di Baitulmaqdis.

Menurut kenyataan itu, Masjid al-Aqsa kekal sebagai simbol utama konflik dengan Israel dan akan terus menjadi milik Islam sepenuhnya, sambil menegaskan bahawa segala usaha penjajah untuk membahagi atau mengubah identiti masjid berkenaan tidak akan berjaya.

Hamas turut menyifatkan operasi Taufan al-Aqsa sebagai satu titik perubahan bersejarah yang meletakkan umat Islam berdepan tanggungjawab besar untuk mempertahankan al-Quds dan Masjid al-Aqsa daripada ancaman projek Zionis.

“Kami menegaskan bahawa rakyat Palestin, melalui muqawamah, keteguhan dan ketabahan mereka di atas tanah air sendiri, akan terus menjadi benteng kukuh yang mematahkan segala perancangan musuh, dengan pengorbanan yang besar demi al-Quds dan al-Aqsa,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Hamas mengulangi penolakan tegas terhadap sebarang cubaan Israel untuk mengubah realiti sejarah Masjid al-Aqsa atau menghapuskan ciri-cirinya, sambil menegaskan bahawa tiada kedaulatan Israel ke atas walau seinci daripada kawasan masjid berkenaan.

Hamas turut memberi penghormatan kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis, wilayah Palestin yang diduduki pada 1948 serta komuniti Palestin di kem-kem pelarian dan diaspora, atas keteguhan mereka menentang penjajahan dan pencerobohan.

Gerakan itu menyeru umat Islam, termasuk para pemimpin, kerajaan dan organisasi, agar memikul tanggungjawab sejarah dalam melindungi al-Quds dan Masjid al-Aqsa, memperkukuh sokongan kepada penduduk Palestin di Baitulmaqdis serta menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk menuntut hak dan membebaskan tanah air mereka. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel peruntuk $112 bilion untuk persiapan perang masa hadapan

Next Post

Fasa kedua gencatan senjata Gaza jauh dari realiti dan harapan sebenar

Related Posts