Ketua Hamas di Semenanjung Gaza, Dr. Khalil al-Hayya, berkata rejim penjajah Israel telah gagal mencapai sebarang matlamat selepas dua tahun perang di Gaza.
Dalam temu bual bersama saluran Al Jazeera, al-Hayya menegaskan bahawa Hamas tidak akan memberi alasan kepada Israel untuk menyambung semula peperangan, sambil mendedahkan bahawa pihaknya telah menyerahkan 20 tahanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan khas akan memasuki beberapa kawasan baharu pada Ahad bagi mencari mayat tahanan Israel yang masih belum ditemui.
Menurutnya, Hamas tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap mana-mana tokoh nasional yang tinggal di Gaza untuk mengurus pentadbiran wilayah itu, dan pihaknya telah bersetuju dengan semua kumpulan Palestin bahawa tanggungjawab pembinaan semula Gaza akan dikendalikan oleh badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami mahu menuju ke pilihan raya sebagai langkah awal ke arah penyatuan semula barisan nasional,” katanya.
Al-Hayya turut mendedahkan bahawa beliau telah memaklumkan kepada penasihat kanan Amerika Syarikat, Steve Witkoff dan Jared Kushner, bahawa Hamas adalah pihak yang menginginkan kestabilan, serta menyeru Presiden Donald Trump untuk mengekang tindakan rejim penjajah Israel.
Beliau menyifatkan serangan terhadap Doha dan kegagalan besar Israel dalam perang itu sebagai “tamparan hebat yang belum pernah berlaku dalam sejarah Israel.”
Mengulas mengenai isu keselamatan, al-Hayya menjelaskan bahawa senjata pejuang Hamas akan terus wujud selagi penjajahan dan pencerobohan Israel berterusan, dan hanya akan diserahkan kepada negara Palestin selepas kemerdekaan dicapai.
Katanya lagi, isu senjata masih dibincangkan bersama kumpulan dan para perantara, dan perjanjian ini masih di peringkat awal. Hamas juga menerima kehadiran pasukan PBB sebagai pasukan pemisah dan pemerhati sempadan bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk menyusun semula agenda nasional di Tebing Barat yang kini berada di bawah cengkaman penempatan haram rejim penjajah Israel, serta menyeru kepada usaha menamatkan penderitaan semua tahanan Palestin.
Al-Hayya turut menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap jumlah bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza, dengan menyatakan bahawa wilayah itu memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 trak bantuan setiap hari berbanding hanya 600 yang dibenarkan masuk ketika ini.
Beliau mendakwa rejim penjajah Israel masih menghalang kemasukan beberapa barangan penting ke Gaza seolah-olah perang masih berterusan, sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat dan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata. – Dunia Palestin