Gerakan Perjuangan Islam Hamas menegaskan bahawa perjuangan bersenjata kekal sebagai hak nasional dan sah rakyat Palestin selagi penjajahan Zionis masih wujud.
Dalam satu kenyataan sempena Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi mengenai isu Palestin yang berlangsung di New York baru-baru ini, Hamas menyatakan bahawa hak tersebut telah diiktiraf oleh piagam dan norma antarabangsa, dan tidak boleh disingkirkan selagi hak rakyat Palestin belum dikembalikan sepenuhnya.
“Mujahidin dan senjata mereka adalah hak mutlak rakyat Palestin selagi penjajahan tidak ditamatkan. Kami tidak akan meninggalkannya melainkan selepas memperoleh semula semua hak dan mendirikan negara yang bebas dan berdaulat,” menurut kenyataan itu.
Hamas dalam masa sama menyambut baik pendirian-pendirian positif yang dikemukakan dalam persidangan tersebut, dan menganggap ia sebagai sokongan penting terhadap perjuangan rakyat Palestin di pelbagai peringkat.
Gerakan itu turut menekankan bahawa pengiktirafan terhadap negara Palestin yang merdeka dan berdaulat sepenuhnya adalah hasil daripada perjuangan berterusan rakyatnya serta satu bentuk penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Langkah pertama dalam mana-mana usaha antarabangsa yang serius ialah menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik di Gaza serta menamatkan penjajahan. Ini termasuk mengasingkan entiti penjajah dan mendakwa pemimpin mereka sebagai penjenayah perang,” katanya lagi. – Dunia Palestin