GSPP gesa Malaysia tingkat tekanan diplomatik lindungi tahanan Palestin

Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menggesa kerajaan Malaysia meningkatkan tekanan diplomatik di peringkat antarabangsa bagi membantah keputusan Knesset Israel meluluskan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, yang disifatkan sebagai pencabulan serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Ketua Kluster Perundangan GSPP, Muhammad Hisham Marzuki dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan tersebut sebagai tindakan yang bertentangan dengan prinsip asas hak untuk hidup sebagaimana termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), khususnya Artikel 3 yang menjamin hak setiap individu terhadap kehidupan, kebebasan dan keselamatan diri.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan juga melanggar Artikel 6 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) yang menegaskan bahawa hak untuk hidup merupakan hak yang tidak boleh diganggu gugat, selain bercanggah dengan Artikel 3 Konvensyen Geneva Keempat (1949) yang melarang hukuman tidak sah tanpa proses perbicaraan yang adil.

GSPP menegaskan bahawa hukuman mati berkenaan berpotensi dijadikan alat penindasan politik terhadap rakyat Palestin, sekali gus menambah penderitaan masyarakat yang telah lama hidup di bawah penjajahan dan tekanan berterusan.

Sehubungan itu, gabungan berkenaan menggesa masyarakat antarabangsa termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia agar memberi tekanan dan menolak keputusan tersebut.

Selain itu, GSPP turut menyeru Malaysia memainkan peranan lebih tegas di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Menurut GSPP, kerajaan Malaysia bersama negara sahabat khususnya di rantau Asia Barat perlu memperkukuh solidariti, meningkatkan tekanan diplomatik serta menyuarakan bantahan secara konsisten di forum antarabangsa.

Gabungan itu turut menegaskan bahawa hukuman mati ke atas rakyat Palestin merupakan satu bentuk jenayah perang dan apartheid yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.

GSPP menegaskan bahawa kezaliman tidak akan mematahkan semangat perjuangan rakyat Palestin, dan masyarakat dunia perlu terus berdiri bersama mereka dalam menuntut kebebasan, keadilan serta hak untuk hidup tanpa penindasan. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas seru masyarakat dunia bertindak lindungi tahanan Palestin

Next Post

Abu Ubaidah gesa seluruh dunia menghukum Israel atas jenayahnya

Related Posts