Gerakan Hamas menyeru negara-negara Arab dan umat Islam agar bersatu bagi menggagalkan pencerobohan Israel yang semakin meluas di rantau Asia Barat.
Dalam kenyataannya, Hamas mengecam serangan Israel terhadap Lubnan serta pencerobohan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang disifatkan sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan, kestabilan dan kedaulatan rantau tersebut.
Menurut Hamas, pencerobohan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda penjajahan Israel untuk membentuk semula rantau ini selaras dengan cita-cita penubuhan “Israel Raya” di wilayah Arab dan Islam.
Gerakan itu turut menegaskan solidariti penuh bersama Lubnan dan Iran serta memberi amaran bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa mengekang tindakan agresif Israel berisiko memperluas konflik serantau dan menjejaskan kestabilan politik serta keselamatan di seluruh Asia Barat. – Dunia Palestin