Gerakan Hamas menyeru Pakistan dan Afghanistan agar mengamalkan sikap menahan diri serta mengutamakan dialog dan diplomasi susulan ketegangan terbaharu yang tercetus antara kedua-dua negara itu.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata kedua-dua negara berkongsi hubungan persaudaraan yang kukuh berasaskan akidah, agama serta sejarah yang panjang, yang disifatkan jauh lebih penting berbanding sebarang perselisihan bersifat sementara.
Gerakan itu turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap perkembangan tersebut dan menegaskan kepentingan mengelakkan sebarang pertumpahan darah yang boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih besar di rantau berkenaan.
“Hamas menyeru agar penyelesaian dicapai melalui dialog konstruktif dengan mengutamakan kepentingan tertinggi ummah Islam, di samping merapatkan jurang perbezaan demi menjamin keamanan, kestabilan dan pemeliharaan nyawa,” menurut kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, Hamas turut menegaskan bahawa dunia Islam ketika ini memerlukan tahap kesatuan dan perpaduan yang tinggi, khususnya ketika entiti Zionis didakwa sedang berusaha membentuk pakatan baharu bagi memecahkan pemulauan antarabangsa susulan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Sehubungan itu, gerakan tersebut menekankan bahawa fasa semasa menuntut pengukuhan solidariti antara negara serta rakyat Islam bagi menghadapi cabaran bersama yang dihadapi ummah. – Dunia Palestin