Hamas menegaskan ancaman Israel untuk membunuh Ketua Biro Politik pergerakan itu, Dr Khalil al-Hayya, tidak akan mengubah pendirian teguh mereka dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Dalam kenyataan pada Ahad, Hamas menyifatkan ancaman Menteri Perang Israel, Israel Katz itu sebagai keganasan negara yang terancang serta mencerminkan tindakan yang tidak terikat dengan undang-undang antarabangsa.
Hamas turut mendakwa ancaman berkenaan memperlihatkan kebankrapan politik kerajaan Israel dan anggota pemerintahannya yang berfahaman fasis.
Menurut kenyataan itu, ancaman tersebut tidak akan mengubah pendekatan perjuangan dan penentangan Hamas sehingga semua hak rakyat Palestin dipulihkan, terutama penamatan penjajahan Israel.
Sebaliknya, Hamas berkata ancaman berkenaan hanya akan mengukuhkan keazaman pergerakan itu dan para pemimpinnya untuk terus mempertahankan pendirian nasional mereka.
Hamas turut menggesa pihak pengantara supaya mengambil tindakan tegas dan muktamad bagi mengecam ancaman tersebut.
Pada masa sama, pergerakan itu menegaskan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata serta pelan pelaksanaannya yang ditaja Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Hamas juga menggesa tekanan dikenakan terhadap kerajaan Israel supaya memenuhi kewajipannya, termasuk menghentikan serangan dan menarik balik sekatan terhadap rakyat Palestin. – Dunia Palestin